Contoh Karangan:Kelebihan dan Kebaikan Buah-buahan Tempatan (Versi 2019) - [Soalan Lisan] Karangan Rangsangan SPM

Soalan Lisan: Kelebihan dan Kebaikan Buah-buahan Tempatan
Memang tidak dinafikan negara Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan buah-buahan tempatan kerana cuaca tanah air kita yang panas dan hujan selalu menyediakan habitat yang sesuai untuk menanam buah-buahan yang bersifat tropika. Hal ini dapat dimanifestasi dengan laporan “Tropical Fruit and Vegetables in Malaysia: Production and impact on Health” yang menerangkan bahawa 61% sektor pertanian di Malaysia adalah tertakluk kepada pertanian industri seperti pokok kelapa sawit, pokok getah, pokok koko manakala 39% merupakan pertanian makanan yang termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran. Namun begitu, rakyat Malaysia masih kurang makan buah-buahan tempatan dengan kadar pengambilan pada tahun 2016 sekitar 63kg setahun seorang yang dikira rendah berbanding dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) iaitu 400kg seorang setahun menurut Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan. Oleh itu, adalah penting untuk menguar-uarkan kebaikan buah-buahan tempatan kepada rakyat jelata agar permintaan buah-buahan tempatan dapat meningkat. Bak kata pepatah, “Tepuk dada tanya selera”. Persoalannya, “Apakah seribu satu manfaat yang dapat diperoleh daripada buah-buahan tempatan?” 
Antara kemaslahatan menjadikan buah-buahan tempatan sebagai makanan ialah buah-buahan tempatan bukan sahaja sedap-sedap belaka, malah kaya dengan zat dan vitamin. Berdasarkan Timbalan Pengarah Pengawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidiakan Hortikultur, Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Zaedah Mahmood, “Adalah anggapan salah bahawa buah-buahan import lebih berkhasiat kerana buah-buahan tempatan lebih segar berbanding dengan buah-buahan import.” Ungkapan beliau telah mencerminkan bahawa buah-buahan tempatan lebih segar dan banyak nutrien. Contohnya, rambutan dan pulasan mengandungi 70mg/100g vitamin C manakala epal hanya mempunyai 6.0mg/100g vitamin C. Pada masa yang sama, buah-buahan tempatan akan lebih kurang didedahkan dengan pencemaran sedangkan jarak untuk penghantaran lebih dekat. Lebih-lebih lagi, pihak import juga akan menggunakan rencaman uslub untuk memastikan kandungan khasiat buah dapat dipelihara semasa dibeli oleh pengguna. Tamsilnya, epal akan disalut dengan lilin untuk memastikan epal yang diimport adalah segar seperti yang dipetik di kebun. Jelasnya, senario ini telah membuktikan buah-buahan tempatan adalah pilihan pertama untuk dinikmati sedangkan kandungan khasiat buah-buahan tempatan adalah kaya berbanding dengan buah-buahan yang diimport.
Tambahan pula, industri pelancongan juga dapat dirangsang atas sebab buah-buahan tempatan. Mengikut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, durian akan menjadi medium kepada inisiatif itu disasarkan bakal meningkatkan kemasukan pelancongan luar seperti dari China, Hong Kong, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat”. Petikan beliau telah menunjukkan buah-buahan tempatan dapat menarik pelancongan dari luar negara khasnya negara China kerana buah-buahan tempatan lebih lazat dan segar kalau dinikmati di tempat pengeluaran asal buah-buahan tersebut. Lebih-lebih lagi, sumber kekayaan rakyat jelata dapat ditambahkan seperti pemandu Grab, pengusaha rumah inap, peladang dusun dan sebagainya kerana pelancong akan berkunjung ke tempat berdekatan. Misalnya, Kementerian Pelancongan telah mengadakan kempen durian untuk menyambut musim durian dan mempromosi durian di Pulau Pinang pada 6 Mei 2019 sehingga 6 Ogos 2019 dengan kerjasama Asia Gateway Tours. Kempen ini telah menunjukkan tarikan buah-buahan tempatan telah tidak dapat dinafikan oleh pelancongan. Bak kata pepatah, “Sudah Terang lagi bersuluh” menyatakan bahawa industri pelancongan dapat ditingkatakan dengan promosi buah-buahan tempatan ke persada dunia. 
Untuk pengetahuan semua, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani(MOA) telah menjangka 1000 tan durian jenis premium iaitu Musang King (D197) dan Black Thorn(D200) dieksport ke China setiap bulan dan dijangka dapat menjana kira-kira RM500juta untuk setahun. Statistik yang diperolehi telah menunjukkan betapa untungnya sekiranya kita memajukan sektor pertanian buah-buahan tempatan kita dengan baik. Dengan pengeksportan buah-buahan tempatan, sumber pendapatan petani dapat dipacu sekali gus dapat menambahbaikkan taraf hidup petani. Bukan itu sahaja, peningkatan pendapatan negara juga dapat merangsangkan sektor penyelidikan buah-buahan tempatan di samping mengurangkan kebergantungan kepada buah-buahan tempatan. Manakala, industri pelancongan juga juga akan memacu roda ekonomi negara kerana pelancong khasnya pelancong dari negara China rela mengeluarkan duit yang banyak untuk menikmati kelazatan buah-buahan tempatan di negara kita. Promosi buah-buahan tempatan ke luar negara merupakan mekanisme yang bercorak serampang dua mata kerana buah-buahan tempatan bukan sahaja dapat menjadi tarikan pelancong, malah dapat dieksport ke luar negara sebagai sumber pendapatan tanah air kita. 
Kesimpulannya, buah-buahan tempatan merupakan elemen yang mustahak dan perlu diberi fokus oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pelancongan dengan rakyat jelata. Kerjasama rapat antara kedua-dua pihak ibarat aur dengan tebing untuk memasyarakatkan buah-buahan tempatan sehingga ke akar umbi rakyat dengan menjalankan kempen atau festival buah-buahan tempatan. Rentetan kaedah ini, kesedaran tentang pentingnya memilih buah-buahan tempatan berbanding dengan buah-buahan yang diimport dapat dipahat ke sanubari rakyat jelata. Contohnya, penganjuran Festival Buah-buahan dan Makanan Negeri Sembilan 2016 (FBMNS 2016) telah menarik kedatangan lebih 6000 pengunjung. Lantaran itu, kita perlu bersifat gigih ibarat belakang parang diasah lagikan tajam untuk mempromosikan buah-buahan tempatan tanpa mengira musim agar buah-buah tempatan menjadi pilihan utama rakyat tempatan dan buah-buahan terbaik di seantero dunia. 

(763 Patah Perkataan) 

Ulasan